Harga Minyak Boleh Cecah US$20 Setong Tetapi Dijangka Tidak Berterusan – Pakar Ekonomi

KUALA LUMPUR, 9 Dis  — Penurunan harga minyak selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memutuskan untuk tidak mengehadkan pengeluaran mencetuskan kebimbangan dalam pasaran bahawa harga mungkin malahan mencecah paras US$20 setong.

Bagaimanapun, paras harga sedemikian tidak dijangka berterusan, kata seorang pakar ekonomi.

Harga minyak mentah Brent turun mendadak sejak Jumaat lepas sebelum ditutup pada US$40.62 setong hari ini, selepas perkumpulan minyak itu gagal mencapai persetujuan bagi siling pengeluaran, yang memburukkan lagi keadaan lebihan bekalan dalam pasaran.

OPEC ketika ini mengeluarkan kira-kira 31.5 juta tong minyak sehari, manakala kuantiti lebihan bekalan sekitar 500,000 hingga dua juta tong.

Meskipun terdapat kemungkinan harga minyak jatuh ke paras US$20 setong, seorang pakar ekonomi daripada MIDF Research berkata paras seperti itu kemungkinan besar tidak berlaku dan sekiranya berlaku ia akan melantun semula serta merta selepas mencecah ke paras tersebut.

“Sejumlah besar syarikat minyak terpaksa menghentikan operasi mereka pada harga tersebut, membawa kepada kekurangan segera bekalan dalam pasaran.

“Justeru, US$20 setong bukan senario asas kita dan tidak mungkin pasaran akan menetapkan harga minyak berada pada US$20 setong,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata paras fiskal Malaysia akan paling menerima kesan sekiranya harga jatuh ke paras US$20 setong kerana paras itu tidak mapan bagi pengeluaran petroleum domestik.

“Sekiranya harga purata bagi minyak kekal pada US$20 setong bagi 2016 dan 2017, kami menjangkakan hasil berkaitan petroleum kerajaan akan jatuh daripada nilai jangkaan semasa pada RM31.7 bilion kepada RM22 bilion pada 2016 dan terus turun kepada RM9 bilion pada 2017,” katanya.

Beliau berkata bagi mengekalkan paras hutang di bawah 55 peratus berbanding keluaran dalam negara kasar, kerajaan kelaknya perlu terus mengambil langkah-langkah penjimatan, yang berkemungkinan menyebabkan pertumbuhan ekonomi semakin perlahan selepas itu.

Ketua Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata meskipun paras harga minyak rendah sekarang menjejaskan hasil kerajaan, ia memberi manfaat kepada pengguna.

“Pengguna akan menikmati harga rendah. Jadi bukan semuanya berita buruk bagi semua orang. Malahan, ia merupakan berita baik bagi pengguna,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis MIDF Research Oil and Gas, Aaron Tan Wei Min, yakin unjuran Petronas sebanyak US$48 setong dalam Bajet 2016 dapat dicapai pada masa depan.

“Meskipun harga minyak mentah ketika ini berada sekitar US$40 setong, unnjuran tersebut adalah bagi purata keseluruhan tahun 2016 dan harga dijangka melantun semula pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sektor tertentu ekonomi mendapat manfaat daripada situasi sekarang, terutamanya yang bergantung besar kepada minyak dan gas seperti penerbangan, pengangkutan dan pembuatan.

“Industri-industri ini sedang menikmati kos yang lebih rendah,” katanya.

— BERNAMA

Artikel disiar pada December 10, 2015 - 6:58 am oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET