Menjelang BERSIH 5

BERSIH tidak muncul dalam vakum. BERSIH dimulakan tanpa sesiapa pun yang menjangka akan adanya BERSIH 2.0, apatah lagi perhimpunan BERSIH5. Padahal BERSIH5 merupakan satu jelmaan bahawa perjuangan belum selesai, malah momentumnya bergolek dan berkembang dari BERSIH1 hinggalah BERSIH4.

Namun jelas, BERSIH berdepan dengan kebuntuan pada saat-saat ini, lebih-lebih lagi apabila sambutan terhadap perhimpunan kelimanya tidak sehangat berbanding apa yang berlaku sebelumnya.

Fenomena ini cukup pelik, mengambil kira faktor skandal 1MDB yang merobek kredibiliti perdana menteri, pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan harga minyak yang yang menambah beban kos sara hidup – punca yang menyemarakkan ketidakpuasan rakyat di serata dunia – namun rakyat Malaysia kelihatan terus lesu dan pasrah dengan apa yang terjadi.

Harus kita mengakui bahawa Malaysia pada peringkat ini, gerakan sosial mahupun sivil masih terikat dengan pembangkang pada kebanyakan masa. Barangkali ikatan ini hanya terputus selepas pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan.

Justeru itu, kebuntuan yang dihadapi BERSIH pada hari ini, sebenarnya adalah lanjutan daripada kebuntuan yang membelenggu pembangkang. Dengan kata lain, selagi pembangkang gagal menyelesaikan masalah dalamannya, maka agak sukar untuk BERSIH memacu momentumnya pada 19 November nanti.

BERSIH dan politik berpisah tiada

BERSIH menjadi tumpuan umum, baik dalam mahupun luar negeri – bukan perhimpunan Tolak GST, dan bukan juga perhimpunan Tangkap MO1. Matlamatnya memperjuangkan sistem pilihan raya yang adil dan bersih – satu isu yang agak teknikal untuk difahami kebanyakan orang, tiada kaitan secara langsung dengan periuk nasi orang biasa, malah tidak membakar sentimen perkauman mahupun agama.

Harus kita mengimbas sejarah penubuhan BERSIH untuk memahami mengapa BERSIH dijadikan tumpuan. Ia ditubuhkan selepas pembangkang kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-11 (PRU11) pada tahun 2004. Barisan Alternatif berpecah pada tahun 2001 lantaran perselisihan dalam isu Negara Islam antara DAP dengan PAS. Gelombang Reformasi surut, BN pula bangkit dengan fenomena PM baru, menampilkan Abdullah Ahmad Badawi untuk melunturkan imej “mahazalim” PM keempat, Mahathir Mohamad.

Parti pembangkang akhirnya merasai kepahitan di sebalik pengajaran, yang perbalahan sesama pembangkang hanya mengundang malapetaka memusnahkan.

Gagal juga menyelesaikan perbezaan pandangan dalam isu Negara Islam, pembangkang bekerjasama atas platform BERSIH, menuntut gelanggang pilihan raya yang sama rata untuk semua parti politik, tanpa mengambil kira apapun ideologinya.

Bulan madu bawah Pak Lah tidak berkekalan sebagaimana yang dijangkakan. Demonstrasi protes diadakan juga di sana sini sebelum perhimpunan BERSIH 1 pada 10 November 2007. Rakyat turun dalam lingkungan ratusan hingga dua ribu orang, memprotes kenaikan harga minyak dan tol.

Menara kembar KLCC dijadikan gelanggang, mungkin dengan harapan agar Unit Simpanan Persekutuan (FRU) merasai tekanan dengan kehadiran pelancong asing di situ, jika bertindak menyuraikan perhimpunan dengan keganasan.

Namun, jangankan rasa malu, sifat perikemanusiaan pun tiada sisa cebisannya di sebalik topeng FRU. Rakyat dibelasah, dibedil gas pemedih mata dan disembur meriam air kimia untuk berlari lintang pukang bagai pelarian di tanah air sendiri.

BERSIH1 berjaya sebagai perhimpunan rakyat terbesar selepas zaman Reformasi, malah dipercayai memacu momentum untuk mencetuskan “tsunami politik” dalam PRU12 pada 8 Mac 2008. Desakan suara rakyat melalui peti undi, akhirnya menggabungkan PAS, PKR dan DAP bawah bumbung Pakatan Rakyat.

BERSIH 2.0 dan 3.0

Aktivis NGO mengambil alih pimpinan BERSIH dari pemimpin parti politik pada November 2010, sempena ulang tahun ketiga selepas perhimpunan BERSIH1. Perlu diingatkan bahawa perhimpunan BERSIH2 dijadualkan pada 9 Julai 2011 selepas melabuhnya tirai pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April 2011. Pemantauan NGO mendapati penyelewengan tetap berlaku sepanjang tempoh kempen pilihan raya, namun aduan tidak diendahkan. Maka perhimpunan BERSIH 2 kembali selepas 4 tahun untuk menambah tekanan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

BERSIH2 berlaku dalam era pemerintahan Najib Razak, yang mengambil alih tampuk kuasa sejak 3 April 2009. Pusat ibu negara disekat pada malam 8 Julai 2011 untuk mencegah kebanjiran rakyat, malah penangkapan dan penahanan telah bermula dengan Ordinan Darurat sebelum BERSIH 2 berlangsung di jalan raya. Pada ketika itu Ibrahim Ali dari PERKASA memainkan peranan yang agak mirip dengan Jamal Md Yunos pada hari ini. Ugutan ditujukan kepada bukan Melayu untuk mengalih isu kepada perkauman.

Namun ‘perhimpunan 709’ ini membuahkan hasil di luar dugaan. Tembok perkauman runtuh apabila Unit Amal menendang pagar untuk membuka laluan agar peserta Cina melarikan diri. Adegan yang terharu ini membuka pintu di hati kaum Cina untuk menyertai perhimpunan seterusnya. Komuniti Cina Malaysia tidak lagi dihantui tragedi demonstrasi Indonesia yang memangsakan Cina. Melayu pula diyakinkan bahawa Cina telah bersedia untuk memperjuangkan demokrasi di tanah air sendiri.

Lebih penting, ia menghakis kesan ugutan bahawa rusuhan kaum bakal berlaku jikalau demonstrasi jalanan diadakan. Generasi 709 ini disatukan atas tekad untuk menentang kezaliman.

Perhimpunan BERSIH3 diumumkan tarikhnya untuk berlangsung pada 28 April 2012 selepas BERSIH2.0 tidak berpuas hati dengan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya. Sungguhpun begitu, perhimpunan tersebut sedikit sebanyak dilihat sebagai perhimpunan raksasa untuk menunjukkan “angka” yang dimiliki Pakatan Rakyat sebelum PRU13.

Hakikatnya, kempen BERSIH3 bermula sebaik sahaja perhimpunan BERSIH2 melabuh tirai. Ramai yang ditambat langkahnya ke BERSIH2 lantaran ketakutan menyesal setelah mengikuti perkembangan di laman media sosial. Ugutan gagal menyekat kemaraan rakyat untuk BERSIH3.

Segala-galanya berjalan dengan aman sehingga gas pemedih mata dibedil selepas sekatan di sekitar Dataran Merdeka dirempuh. Sejumlah 967 butir gas pemedih mata ditembak pada hari itu, dan beberapa orang pengamal media yang membuat liputan di situ dibelasah teruk. Namun kemarahan terhadap kerajaan BN semakin menyemarak dan diterjemahkan ke dalam peti undi pada 5 Mei 2013.

BERSIH4: Cahaya dalam kegelapan

Gerakan politik pembangkang diselubungi kemurungan dan kesuraman untuk satu tempoh yang agak panjang selepas kekalahan Pakatan Rakyat dalam PRU13. Sama ada isu GST yang memberi kesan kepada semua rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, mahupun pemenjaraan Anwar Ibrahim yang jelas langkah untuk menekan pembangkang, tidak dibalas dengan himpunan raksasa yang mampu untuk menggegarkan penguasa.

Malah, penguasa telah mengambil iktibar untuk tidak menggunakan keganasan terhadap peserta perhimpunan, sekadar “buat tak nampak” untuk mematikan aksi protes di situ.

BERSIH 4 diadakan pada 29 dan 30 Ogos 2015 sebagai reaksi terhadap pendedahan skandal RM2.6 bilion yang mengheret nama Najib Razak. Meskipun integriti Najib Razak tercabar ketika itu, malah menyaksikan perpecahan dalam Umno sendiri, tetapi hubungan pembangkang terkoyak lebih awal, apabila Pakatan Rakyat diumumkan terkubur pada Jun 2015.

Perhimpunan 34 jam mencipta rekod sejarah. Sambutannya di luar dugaan. Ramai aktivis hanya mampu mengeluh dengan kekecewaan apabila gerakan sosial dan pembangkang terjerumus dalam kancah kemelut pasca 5 Mei 2013. Kehadiran ratusan ribu manusia pada malam 30 Ogos menyalakan cahaya dalam kegelapan, bahawa rakyat Malaysia masih tidak mengalah.

Cuma ia sedikit cacat apabila lautan manusia yang mengombak tidak mencerminkan struktur populasi Malaysia sebagaimana dalam BERSIH3. Akhirnya Umno mengambil kesempatan untuk mengalih isu dengan perkauman, menampilkan gerakan Baju Merah untuk mengadakan perhimpunan pada 16 September 2015.

Memaknai BERSIH5

Hakikatnya perdebatan tentang BERSIH 4 belum terungkai. Sementara perdebatan satu peringkat berkisar pada “hadir atau tidak” (atau berkecuali), satu peringkat lagi telah memulakan perbahasan “apakah makna BERSIH5 seandainya ia berakhir bagai BERSIH4”.

Ada suara yang mencadangkan agar tindakan lebih agresif untuk memastikan Najib dan kerajaan BN merasai tekanan daripada rakyat, misalnya occupy lokasi tertentu (parlimen, Putrajaya) untuk melumpuhkan operasi harian sehingga kerajaan terpaksa respon kepada tuntutan rakyat.

Perdebatan ini belum menemui muafakat. Bagi mereka yang mencadangkan aksi agresif – agak mustahil untuk kita harapkan hasil yang berbeza dengan mengulangi tindakan yang sama. Kerajaan Najib akan memperlekehkan perhimpunan yang bersurai pada jam 6 petang dan segala-galanya akan kembali ke asal tanpa apa-apa perubahan.

Untuk mereka yang teragak-agak untuk tindakan yang lebih agresif, soalan yang berlegar-legar dalam otak adalah sama ada rakyat sudah bersedia. Kita tidak lupa bagaimana peserta BERSIH 3dikecam lantaran merempuh sekatan di sekeliling Dataran Merdeka. Jadi, apakah peserta telah bersedia untuk berdepan dengan situasi seandainya keganasan digunakan pihak berkuasa sehingga membahayakan nyawa peserta?

Apabila masuk bab “bersediakah rakyat”, ia kembali kepada soal pokok sama ada peserta menganggap ia berbaloi untuk berkorban. Soalan ini disambung terus kepada pembangkang kerana rakyat akan bertanya, “Apa selepasnya jikalau Najib atau BN ditumbangkan?”

Dengan kata lain, di manakah calon perdana menteri, kerajaan baru, dasar bersama yang ditawarkan parti pembangkang?

Ringkasnya, apakah makna BERSIH5? Setakat ini kita hanya mampu menjawab, “Berdiam diri bukan pilihan kita”.

Buat mereka yang letih dan terkilan dengan situasi sekarang, kita menyuntik semangat dengan: “Kita tetap berjuang bukan kerana adanya harapan, tetapi harapan hanya muncul selepas kita kekal berjuang.”

Saya memahami mereka yang dahagakan perubahan segara. Saya berkongsi kekecewaan terhadap pembangkang yang gagal kembali ke meja rundingan tatkala negara dirompak sedemikian rupa. Tetapi saya juga menganggap bahawa inilah misi dan cabaran yang harus kita galas bersama.

Kita terpaksa mengakui bahawa kadang-kala kita tidak menemui jalan keluar dalam kebuntuan. Tidak semua yang kita lakukan berhasil serta-merta. Wajah Malaysia tidak berubah pun selepas kita bangun dari tidur pada malam 29 Ogos 2015 di tepi jalan raya pusat bandar.

Saya mengimbas sejarah BERSIH untuk kita memahami peranannya pada peringkat yang berbeza dalam politik Malaysia. Kesemuanya melonggok dan membuahkan hasil di masa depan. Suasana politik hari ini mungkin mengecewakan, tetapi saya cukup pasti ia lebih baik berbanding sebelum 8 Mac 2008.

Jikalau kita bersetuju dalam hal ini, ia bermakna kita mengiktiraf peranan BERSIH1. Kita yakin tragedi 13 Mei tidak berulang – lebih yakin berbanding sebelum 9 Julai 2011 – ini bermakna BERSIH2 memahat impaknya dalam sejarah.

Tiada slogan untuk saya laungkan dalam BERSIH5. Tetapi saya tetap akan hadir. Barangkali BERSIH 5 tidak mencetuskan kesan yang besar, tetapi antara adanya BERSIH5 dengan tiadanya BERSIH 5, manakah yang lebih mungkin untuk mencetuskan perubahan? Dan apakah kita sanggup melepaskan peluang ini, meskipun ia nampak tipis?

Artikel disiar pada November 14, 2016 - 10:38 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET