Kongres budaya: Setelah 45 tahun

Hujan tidak jadi di Kuala Lumpur. Mujur, dalam perjalanan pulang ke Bangi tidak perlu berbasah dan melangkah lecak. Dalam tren komuter sekitar 45 minit dari NU Sentral, yang kerap menjerkah adalah kata-kata Samad, teman lama; “Budaya juga boleh jadi buaya”.

Setelah lebih empat puluh tahun, Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 akan dianjurkan semula. Jika empat dekad lalu ia diadakan di Universiti Malaya, pada 15 April 2017 ia dianjurkan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sejak ada ura-ura mengenai penganjuran Kongres Kebudayaan ini, aku sudah mencari semula ucapan-ucapan lama tokoh penting tahun 1970-an. Ketika acara besar itu dilaksanakan pada tahun 1971, landskap negara sangat berubah. Malaysia masih baru belasan tahun merdeka, luka rusuhan kaum kekal menganga belum terkatup, gelora politik parti memerintah makin sengit dan tajam, impian pelbagai bangsa dalam kabut memerlukan cahaya dan, Malaysia mencari-cari formula yang betul untuk membangun nusa.

Nama-nama seperti Profesor Mohd Taib Osman (ketika itu usianya 37 tahun), A Samad Ismail (47 tahun), Profesor Ungku Aziz (49 tahun), Hassan Ahmad (yang baru mencecah usia 35 tahun), Nik Safiah Karim (di usia 32 tahun), Syed Husin Ali (35 tahun), Khoo Kay Kim (34 tahun), Llyod Fernando (45 tahun), P Ramlee (42 tahun), APM Piyadasa (32 tahun), Krishen Jit (32 tahun), Rahim Razali (32 tahun), Hijjas Kasturi (35 tahun) dan perdana menteri ketika itu, allahyarham Tun Razak yang memberi kata alu-aluan menjelma kembali mengacah-ngacah benak.

Berdasarkan nama-nama yang bersuara ketika tahun 1971 itu aku dapati yang senior ketika itu mungkin Profesor Ahmad Ibrahim (ketika itu usianya 55 tahun), atau Mubin Sheppard yang berusia 66 tahun. Dalam erti kata lain suara anak muda, rata-rata dalam usia 30-an ditampilkan dengan sengaja oleh Tun Razak untuk ‘membentuk kebudayaan kebangsaan’. Tun Razak merujuk mereka sebagai ‘pemikir’.

Bukan itu sahaja, terdapat suara menentang status quo (dissenting voices) dalam Kongres Kebudayaan tersebut seperti Llyod Fernando yang menulis Scorpion Orchid pada tahun 1976 (dengan latar rusuhan kaum di Singapura melibatkan empat watak dari bangsa dominan di tanah air), atau Syed Husin Ali yang menjadi ikon mahasiswa tahun 70-an dan kemudian ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dalam tahun 1973 atau 1974. Pada tahun 1971 itu juga terdapat pembentang dengan rencam etnik (malah ada bangsa Sinhalis seperti APM Piyadasa), gender (seperti Asmah Omar yang berumur 31 tahun waktu itu), serta mereka yang benar-benar merupakan nadi dalam industri atau bidang masing-masing seperti P Ramlee (muzik), Krishen Jit (teater), Syed Ahmad Jamal (catan), dan Hijjas Kasturi (seni bina).

Tiba-tiba di dalam tren komuter itu aku disergah status Facebook Fasyali Fadzly, aktivis teater di ASWARA mengenai Kongres Kebudayaan – di mana suara orang muda, di mana? – dan aku berasa terkilan. Dan ejeken teman, ‘Kongres Budaya atau Kongres Hayat Raya’ kembali menerpa amat membuncah benak. Pun, yang lebih menyebabkan aku terkilan bukan sangat kerana Kongres Kebudayaan 2017 tidak menimbangkan suara orang muda; tetapi yang lebih menyengat adalah apa yang tokoh-tokoh di atas bincangkan dan suarakan pada tahun 1971 itu sama sekali tidak dicapai pada tahun 2017. Bukan sahaja tidak dicapai, malah ia jauh kesasar dan meleset ke gaung entah mana.

Hal ini bukan lambat disedari. Pada tahun 1979, Ghazali Shafie yang ketika itu menteri hal ehwal dalam negeri telah melihat kegagalan dan kehancuran kehendak Kongres Kebudayaan 1971 ini. Kenapa?

Sebelum aku menjawab pertanyaan ini, fahami dahulu sahaja semangat dan inti pati ucapan Tun Razak tatkala 1971 itu, beliau ingin antara lain, izinkan aku gariskan;

  1. Kita, rakyat mesti menggubal satu identiti bangsa Malaysia dengan mengambil kira semua kaum dan agama. Tun Razak mengatakan, “Saya menegaskan bahawa sudah sampai ketikanya bagi kita menentukan ‘identiti’ atau keperibadian kebangsaan sebagai satu bangsa yang mempunyai maruah dan martabat seperti bangsa-bangsa lain yang merdeka dan berdaulat di dunia ini.”

  2. Kita, orang Malaysia mesti memastikan keluhuran perlembagaan dan menggerakkan Rukun Negara sebagai ideologi bangsa. Seruan Tun Razak berbunyi; “Rukun Negara ini adalah ciptaan kita sendiri hasil dari gaya pemikiran bijak pandai kita, sesuai dengan environment dan iklim Malaysia. Dengan berpandukan kedua-dua Perlembagaan dan Rukun Negara ini, saya percaya sepenuh-penuhnya bahawa jalan yang kita lalui dan yang akan ditempuhi oleh generasi-generasi akan datang tetap membawa kepada mercu kebahagiaan yang dicita-citakan itu.”

  3. Kita, warga negara mesti mengambil kebudayaan lama yang menjadi milik kita untuk dijelma, dipugar dan dihidupkan kembali, bukan menyisihkannya. Ini sangat mustahak, kerana menurut Tun Razak tiada bangsa yang menafikan budaya bangsanya yang lama akan dapat menyerlah sebagai sebuah tamadun. Kata Tun Razak, “…perlulah kita menyesuaikan dan mencantumkan unsur-unsur yang terbaik dari tamadun kebudayaan lama yang kita warisi.”

Hanya beberapa tahun kemudiannya, iaitu pada tahun 1979, Ghazali Shafie mengatakan;

“Sudah lebih lapan tahun Rukun Negara berada di tengah-tengah kita. Hasilnya? Cuba kita buat taksiran. Kalau ditanya kepada saya, saya tetap berpegang bahawa inilah satu ukuran yang boleh dijadikan asas bagi melahirkan satu sistem nilai untuk semua golongan. Cumanya yang saya kurang senangi ialah Rukun Negara hingga kini belum lagi diberi kesempatan untuk mencapai matlamatnya, kerana saya dapati kurang sekali usaha yang dijalankan untuk menghuraikan pengertiannya secara mendalam kepada semua lapisan masyarakat serta segala kemungkinannya sebagai ukuran setiap tindakan dan fikiran.”

Oleng tren yang bergegar sepanjang stesen Seputeh ke Serdang kembali menggoncang ingatan dengan tempik teman, “Argh Kongres Budaya, atau Kongres (apa) Raya?”

Adakah ini benar? Adakah Kongres Kebudayaan 2017 akan menginsafi apa yang gagal dicapai sepanjang 40 tahun lebih sesudah dilampirkan pada tahun 1971? Apakah lagi budaya tinggi yang dihasrati untuk empat puluh tahun lagi?

Ambil sahaja kegagalan dalam bidang filem. Pada tahun 1971, yang ingin dicapai oleh S Romai Nor dalam kertas “Filem sebagai Penyata Kebudayaan Kebangsaan” adalah supaya disekat filem asing yang tidak bermutu agar kita dapat menerbit dan memperbanyak filem Malaysia yang beraspirasi kebangsaan. Ini adalah strategi Iran selepas Revolusi 1979 ketika ingin memesat dan menumbuhkan industri filemnya. Strategi ini mungkin ekstrim tetapi jika nekad, boleh berjaya. Ternyata strategi ini cemerlang kerana filem Iran banyak menggondol perhatian bertaraf Cannes dan Oscar. Kita semua tahu filem kita di takuk J-Revolusi.

Dalam bidang sastera antara saranan Kongres Kebudayaan 1971 menerusi Profesor Mohd Taib Osman adalah; menghimpun sastera tradisional bumiputera seluruh Malaysia (berapa banyak teks Iban, Dayak, Sulu, Senoi telah kita kumpulkan sejak 1971?; memilih menterjemah dan menerbit karya warganegara Malaysia yang menulis dalam bahasa bukan Melayu (kenalkah khayalak Melayu nama Dina Zaman, KS Maniam, atau Bernice Chauly?); memfilemkan hasil kesusasteraan Malaysia (sudah tonton kisah mangsa rogol menikahi perogol kacak iaitu Ombak Rindu?)

Dalam bidang muzik, arwah P Ramlee mencadangkan subjek muzik yang mengajar muzik asli di sekolah-sekolah (berapa banyakkah lagi sekolah rendah yang muridnya hadir ber-punch-card, yang masih mempertahankan subjek muzik?);

Kongres Kebudayaan tahun 1971 juga menegaskan agar nama jalan, bangunan, tempat pelabuhan dan lain-lain diberi nama dengan bahasa Melayu atau paling tidak berciri kebangsaan. Tetapi jika kita ke Putrajaya kita berdepan dengan istilah precint, di Bangi ada Bangi Avenue, Pantai Dalam entah mengapa sudah menjadi Bangsar South, malah Bukit Baru di Melaka pun diberi nama New Hill. Adakah apa yang digaris pada tahun 1971 ini telah dicapai? Adakah kita tunduk kepada kehendak kaum pemodal yang melabur hartanah secara besar-besaran dan menginginkan nama Inggeris yang konon kelasan?

Hari ini Rukun Negara tidak lagi menjadi tenaga pandang dan hayat panjang Malaysia. Malah ada kanak-kanak di sekolah yang tidak pun mengenal Rukun Negara. Tindakan-tindakan status quo yang ada adalah membelakangi harapan untuk membentuk identiti satu bangsa. Minoriti diasak, hak asasi manusia merosot, identiti bangsa sangat kacau. Usaha menjadikan Rukun Negara sebagai pengantar Perlembagaan Malaysia malah dimusuhi dan dipertikai dan dianggap satu gerakan liberal.

Apakah yang berlaku dalam tempoh 1971 ke 2017, yang menggagalkan cita-cita Kongres Kebudayaan 1971?

Pertama: Budaya Kebangsaan kita dirampas Islamis. Terima kasih kepada Mahathir (Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam), Anwar Ibrahim (cita-cita ABIM yang tak terpadam dulu kini dan selamanya) dan PAS (kita ingat segar, dari Amanat Hadi ke Butir T**i). Kenapa Islamis dipersalahkan? Kerana, kita tidak lagi memerlukan Inggeris untuk memberitahu kita apa yang baik dan tidak baik untuk kita. Inggeris adalah penjajah. Sebaliknya kita mengambil Arab untuk menafsirkan siapa diri kita, dan apa budaya kita.

Baru-baru ini cara kita bermasyarakat atau cara kita hidup sebagai Muslim mendapat tunjuk ajar Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim al-Issa. Beliau menyekolahkan kita untuk bagaimana menjadi Islam yang baik di Malaysia dan kita bangsa Melayu terlupa bangsa yang mula-mula menolak Nabi Muhammad adalah kaum Arab. Kata Sheikh; “Adapun Muslim itu cukuplah dirinya seorang Muslim, dengan pegangan Islam dan bersama golongan Muslimin. Sekiranya mereka tidak cukup dengan itu, maka Islam tidak cukup baik untuk mereka. Inilah yang dikatakan kesesatan yang nyata.” Mohammad dari Arab Saudi (yang sehari-hari dengan penuh ekstrem menghunjam Yaman) juga menegaskan secara halus bahawa Islam Salafi yang paling baik untuk Muslim di Malaysia kerana ‘golongan salaf ini merupakan mazhab yang paling tegas dalam mentaati pemerintah, dengar dan patuh kepada pemerintah, dan memberi amaran agar tidak berkonfrontasi dan berpaling daripada pemerintah.’

Tentu Mohammad dalam Syarahan Perdana Wasatiyyah 2017 anjuran Jabatan Perdana Menteri yang bertajuk “Ancaman Liberalisme, Radikalisme dan Terorisme Dalam Dunia Islam: Pendekatan Wasatiyyah Sebagai Penyelesaian” itu kurang tahu bahawa Rukun Negara kita sendiri mengiktiraf cara hidup yang liberal. Jangan salahkan Mohammad, sesetengah kita pun tidak tahu.

Izinkan aku beritahu. Rukun Negara menegaskan pada kepalanya begini:

  • Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya

  • Memelihara cara hidup demokratik

  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama

  • Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak

  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden

Jika kita menganalisa secara kritis kepala Rukun Negara ini kita tidak tahu di mananya ia bertentangan dengan Islam yang wasatiyyah.

Perlukah aku menguliahkan kaum salaf ini erti liberal-liberalisme?

Kedua: Budaya Kebangsaan kita dirampas kapitalis (kaum pemodal). Shamsul Amri Baharuddin yang hari ini merupakan Profesor Ulung di Universiti Kebangsaan Malaysia menulis dalam tahun 1979; bahawa kebudayaan nasional tidak wujud, ia adalah bayangan palsu, kerana “realitinya yang diamalkan oleh sebahagian besar penduduk dari semua kaum, ialah budaya pop atau budaya konsumerisme. Budaya ini dicipta oleh pengusaha dan pemodal untuk kebendaan semata-mata.” Fahamlah kita mengapa nama jalan kita masih terkenan-kenan British hendaknya walau sudah merdeka puluh tahun.

Hari ini, gabungan Islamis-kapitalis, iaitu kelompok pertama dan kedua mewujudkan igau ngeri yang luar biasa. Mereka sebagai misalan boleh sahaja menarah hutan dan berasa tidak bersalah dan tidak bertentangan dengan konsep tauhid yang melindungi semua makhluk termasuk flora-fauna. Mereka menjual agama sepesat-pesatnya, dari membacakan kismis dengan al-Quran sebanyak 30 juzuk ke bacaan doa di Multazam serendah lima ribu ringgit.

Sudah tentu, ancaman seterusnya untuk kebudayaan kita sejak 1971 adalah budaya rasuah. Aku sudah menulis tentangnya berkali-kali. Tetapi tidak tercukup nota untuk aku catatkan di tengah oleng, atau gegar tren ditokok geger dan rusuh khalayak kereta api. Mataku menangkap bunting Kongres Kebudayaan, tersilap baca tanpa kaca mata terlihat Kongres Kebuayaan.

Tren tiba di stesen komuter UKM. Terasa perjalanan empat puluh minit dari KL Sentral ke sini melampaui empat puluh tahun lebih. Dan suara teman menyergah kembali mengacah – ‘Argh Kongres Budaya, atau…?’

Dalam retina mataku wajah-wajah anak muda yang sepatutnya diundang ke Kongres Kebudayaan ini berlalu begitu sahaja. Aku terlihat-lihat semula perenggan dalam ucapan Ghazali Shafie pada tahun 1979. Rukun Negara. Rukun Negara. Rukun Negara.

Artikel disiar pada April 18, 2017 - 6:34 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET