Hisham: Seperti budak-budak, cabar saya tanding di Langkawi

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau tidak berminat untuk bertanding di kawasan Parlimen Langkawi, Kedah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang susulan beliau dicabar Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hishammuddin yang juga Anggota Parlimen Sembrong berkata beliau masih lagi mahu mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong, Johor.

“Itu saya lihat seperti ‘budak-budak’ mencabar saya bertanding di Parlimen Langkawi, maka saya hendak memperingatkan kepada Dr Mahathir bahawa beliau yang menawarkan dirinya sendiri untuk bertanding di Pekan, Pahang.

“Saya tidak pernah menawarkan diri saya untuk bertanding di Langkawi dan saya cukup selesa di Sembrong, jadi tidak perlu saya jawab lebih daripada itu,” katanya ketika diminta mengulas isu beliau dicabar untuk bertanding pada PRU akan datang di kawasan Parlimen Langkawi.

Hishammuddin berkata beliau tidak pernah menyatakan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen Langkawi.

“Apa yang saya nyatakan hari itu dia yang hendak bertanding di Pekan, bertandinglah…tapi itu hasrat dia (Dr Mahathir), saya tidak pernah menyatakan hasrat saya untuk bertanding di Langkawi.

“Oleh itu, saya rasa amat kecewa pada seorang ahli politik yang sudah veteran dan saya tidak mahu melayan lagi benda-benda sebegini,” katanya.

Pada Ahad lalu, Hishammuddin menyifatkan kenyataan Mahathir untuk bertanding di Pekan pada PRU akan datang sekadar kenyataan bersifat populis.

Hishammuddin juga melihat kenyataan itu bertujuan mengganggu tumpuan anggota Umno kerana dibuat ketika Umno bahagian sedang sibuk mengadakan persidangan perwakilan.

– Bernama

Artikel disiar pada July 25, 2017 - 8:46 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET