Lim: Kenapa sebelum 2008 BN tidak bertindak?

Bola kini berada di gelanggang BN untuk menjelaskan mengapa mereka tidak bertindak ke atas kilang-kilang haram semasa pemerintahannya di Pulau Pinang sebelum 2008.

Selepas memohon maaf berhubung perkara itu semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa kerajaan pimpinan Gerakan untuk menyatakan pendirian mengenai perkara itu kerana perniagaan dan premis haram mula beroperasi semasa pentadbiran BN.

“Jika mereka menentang dasar negara mengenai isu ini, dan dengan sengaja mahu struktur atau perniagaan haram dirobohkan atau diharamkan, adakah mereka bersedia sepenuhnya untuk bertanggungjawab ke atas impak sosial negatif dan implikasi terhadap ribuan kes yang masih belum dapat diselesaikan?” soal Lim pada sidang akhbar hari ini.

“Kita perlu bertanya kepada BN, kenapa mereka tidak bertindak ke atas kes-kes haram ini semasa pentadbiran mereka sebelum 2008?”

Lim berkata demikian selepas mengumumkan bahawa ahli exco kerajaan negeri Phee Boon Poh telah diberikan cuti sehingga 21 Ogos untuk pulih daripada pengalamannya semasa penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata mesyuarat kerajaan negeri hari ini meluluskan cuti seminggu kepada Phee, yang yang bertanggungjawap mengendalikan portfolio persekitaran, kebajikan dan masyarakat penyayang.

“Apabila dia pulang, dia akan menjelaskan isu penahanannya oleh SPRM berhubung kes kilang haram di Sungai Lembu, Bukit Mertajam, yang telah beroperasi selama lebih dari 10 tahun,” kata Lim yang juga adalah Setiausaha Agung DAP.

“Kilang itu terletak satu kilometer jauhnya dari rumah kediaman, ia berada di luar zon penampan untuk industri berat, iaitu 500 meter,” kata Lim.

Phee, yang juga ADUN Sungai Puyu, ditahan pada Jumaat lalu, kerana menulis surat yang menggesa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) supaya tidak bertindak terhadap sebuah kilang penapis karbon di Bukit Mertajam yang beroperasi secara tidak sah.

Pengarah kilang berusia 37 tahun itu dan bapanya yang berusia 70 tahun, yang adalah pengurus kilang berkenaan turut ditangkap.

Perintah reman selama lima hari itu kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Isnin lalu.

Lim berkata Phee hanya menjalankan tugasnya dan melaksanakan dasar kerajaan negeri mengenai bangunan, rumah ibadat bukan Islam, struktur, penjaja dan kilang haram yang merupakan “warisan BN” tidak akan diambil tindakan serta-merta dengan tindakan perobohan, kecuali ia menghalang aliran trafik yang lancar atau merupakan gangguan kepada orang awam.

“Pendekatan ini dipakai untuk mencari penyelesaian yang baik; ‘menang-menang’ untuk semua pihak dan atas dasar perikemanusiaan menerusi proses pemutihan, dipindahkan kepada tempat baru ataupun dibuk atau dirobohkan dengan sendiri.

“Hanya struktur dan penjaja haram yang didirikan selepas 2008 akan diambil tindakan, itupun dengan cara berperikemanusiaan.

“Kerajaan negeri kesal bahawa dasar ini sememangnya telah dipolitikkan oleh BN dan PAS, tetapi mereka enggan menyatakan pendirian ke atas dasar ini,” katanya.

Artikel disiar pada August 16, 2017 - 8:42 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET