Reagan ‘belanja’ Mahathir semasa ke Rumah Putih

Di mata Tun Dr Mahathir, ada perbezaan ketara antara dua lawatan beliau ke Rumah Putih berbanding pertemuan Datuk Seri Najib Razak dengan Donald Trump.

Kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu, beliau bertemu dengan Presiden Ronald Reagan pada 1984 selepas mengadakan lawatan rasmi ke beberapa negara lain.

Dr Mahathir berkata, ketika baru dilantik menjadi perdana menteri pada 1981 duta AS cuba mendapatkan satu slot untuk bertemu dengan Reagan dan beliau pada asalnya menolak.

“Saya beritahu duta itu, saya tak nak pergi Amerika, saya pergi negara kepulauan Pasifik dulu kemudian negara-negara Asean barulah negara lain.

“Selepas tiga tahun barulah saya pergi AS dan itu pun dengan syarat, saya lihat apakah jenisnya (sama ada bersifat rasmi atau tidak),” kata beliau dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini hari ini.

Dr Mahathir ditemui di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Semalam perdana menteri mengadakan pertemuan dengan presiden ke-45 AS, Donald Trump, yang menarik banyak reaksi di dalam negara.

Ketika penyokong kerajaan mempertahankan lawatan berkenaan, sebahagian besar pembangkang pula mengkritiknya.

Dapat pesawat khas

Selain mempertikaikan kewajaran tawaran Malaysia untuk mengukuhkan ekonomi AS, cara Najib dilayan di Washington juga menjadi isu.

Satu daripadanya ialah tempat penginapan Najib iaitu Hotel Trump International – milik Trump – yang menjadi tanda tanya sama ada sesuai atau tidak untuknya.

Pihak lain pula berpendapat tidak wajar wang dari kerajaan asing dibelanjakan untuk syarikat perhotelan berasaskan komersial itu.

Setiausaha Akhar Rumah Putih pula menjelaskan, kerajaan AS tidak menempah penginapan untuk Najib.

Dr Mahathir memberitahu selepas dimaklumkan ia adalah lawatan rasmi dan boleh bertemu empat mata dengan Reagan, barulah beliau bersetuju berkunjung ke Washington.

Dalam lawatan itu katanya beliau dapat berbual dengan Reagan di dalam pejabat rasmi presiden AS, Oval Office, dan makan tengah hari bersama-sama.

“Kerajaan AS sediakan sebuah pesawat udara rasmi untuk saya ke Washington. Kemudian pindah ke helikopter. Apabila sampai, ada sambutan (rasmi) semua,” katanya.

Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri sehingga Oktober 2003 juga menceritakan pengalaman dilaluinya semasa di Washington, termasuk bagaimana kerajaan AS membiayai lawatan berkenaan.

“Mereka ‘belanjalah’, bagi kereta panjang (limosin) tu. Ada dua kereta panjang yang sama supaya orang lain tak tahu di mana tetamu itu berada.

“Bendera Malaysia pulak lebih kurang sama dengan bendera AS. Jadi ada orang tepi jalan sangka orang yang ada dalam kereta panjang itu ialah presiden AS.

“Jadi mereka pun melambai-lambai,” katanya sambil ketawa.

Apa dia dapat

Dr Mahathir juga menyatakan beliau tidak menginap di Blair House yang biasanya disediakan untuk tetamu kerajaan AS kerana bangunan itu sedang mengalami proses ubah suai ketika itu.

Bagaimanapun katanya beliau menginap di sebuah hotel yang dianggap antara yang terbaik di Washington ketika itu.

Pertemuan Dr Mahathir dan Reagan itu turut dihadiri timbalan presiden AS ketika itu, George H Bush. Beliau kemudian menjadi presiden ke-41 AS.

Selepas makan tengah hari kedua-dua pemimpin terbabit mengeluarkan kenyataan bersama di Rumah Putih.

Bagaimanapun, seperti Najib, Dr Mahathir tidak mengadakan sidang media bersama wartawan tempatan semasa itu.

Untuk rekod amalan bertemu media semasa mengeluarkan kenyataan bersama presiden AS dengan pemimpin asing hanya bermula semasa pentadbiran George W Bush.

Kurangnya laporan media untuk lawatan Najib baru-baru ini juga menarik perhatian Dr Mahathir yang menganggapnya sebagai gagal mendapat layanan setara dengan pemimpin lain.

Gambar yang ada memaparkan Najib dan Trump di pejabat presiden itu dikatakan hanya dikeluarkan oleh media rasmi Rumah Putih.

Kenyataan bersama pula dikeluarkan selepas pertemuan kedua-dua pihak di Bilik Kabinet, dan wartawan tidak dibenarkan mengemukakan soalan.

“Jadi, dia (Najib) membayar RM100 bilion, belanja banyak tetapi apa yang dia dapat?” katanya merujuk kepada janji perdana menteri untuk pelaburan di AS semasa bertemu Trump.

Dipercayai liputan media yang terhad dibuat bagi mengelakkan soalan-soalan yang tidak disenangi ditanya, termasuk mengenai siasatan Jabatan Keadilan AS berhubung skandal 1MDB.

Untuk rekod, Dr Mahathir mengadakan lawatan rasmi kali kedua ke Rumah Putih pada 2002 dan bertemu dengan Bush yang menjadi presiden ke-43 AS.

Bagaimanapun akhbar Washington Post melaporkan Dr Mahathir mengupah pelobi berpangkalan di AS, Heritage Foundation, untuk memujuk Bush bertemu dengannya.

Laporan terbabit mendakwa aktivti mengatur pertemuan itu menelan belanja kira-kira RM5.3 juta.

LA Times pula melaporkan kerajaan Malaysia membayar pelobi Republikan sebanyak AS$1.2 juta bagi mengatur pertemuan sama.

[Berita berkaitan: PM jumpa Trump: Kita rasa malu, Najib senyum saja]


Temu bual ini dikendalikan bersama oleh Al-Abror Mohd Yusuf, Andrew Ong, Zikri Kamarulzaman dan Annabelle Lee.

Artikel disiar pada September 15, 2017 - 12:28 am oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET