Tak sempat kira, Bibi jelaskan gaji TRW

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan hari ini menunaikan janjinya dengan menjelaskan tunggakan gaji pemain skuad The Red Warriors (TRW).

Tanpa menyebut jumlah bayaran tersebut menurut beliau, pembayaran itu melibatkan satu peruntukan besar.

“Sebenarnya (tunggakan) bulan Julai ada sedikit dan bulan Ogos.

“Saya tak sempat kira jumlahnya,” katanya dengan nada seloroh pada sidang media selepas mengagihkan gaji pemain dan jurulatih Kelantan di Kota Bharu, sebentar tadi.

Bibi Ramjani dipilih sebagai presiden Kafa pada 17 September lalu pada Kongres Kafa Ke-63 dengan menewaskan pencabarnya, bekas naib presiden Kafa, Datuk Mohamad Nasir Hamzah.

Dengan misi memastikan pasukan Kelantan kekal bersaing dalam Liga Super musim depan, Bibi Ramjani berharap pembayaran gaji itu dapat memberi suntikan semangat buat pemain mengharungi baki dua perlawanan musim ini.

Rabu ini, anak buah Zahasmi Ismail bakal menerima kunjungan kelab PKNS FC dengan misi mengutip tiga mata penuh sebelum berdepan Melaka United pada perlawanan terakhir 28 Oktober depan.

Bibi Ramjani berkata, beliau kini sudah menunaikan janji dan amanah yang tergalas sekali gus menuntut pemain membuktikan kemampuan mereka di padang.

“Sekarang dah tak ada tunggakan, saya sudah tunaikan janji dan menjalankan amanah saya.

“Besar harapan saya kepada pemain untuk melihat mereka melakar kemenangan pada perlawanan nanti, ” katanya yang turut diiringi Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Sementara itu, penyerang Kelantan Nor Farhan Mohamad berharap dengan selesainya isu gaji itu dapat membangkitkan lagi semangat rakan-rakan sepasukannya itu.

“Saya sendiri akan berikan 200 peratus dan berharap rakan-rakan sepasukan bermain bermati-matian bagi membolehkan kita mengutip tiga mata penuh,” jelasnya.

Skuad TRW kini berada di kedudukan kesepuluh Liga Super dengan kutipan 18 mata dengan risiko diturunkan ke Liga Perdana sekiranya mengakhiri musim ini di kedudukan dua tercorot.

Artikel disiar pada September 25, 2017 - 10:32 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET