Banjir: PKR mahu MB ambil tanggungjawab

Seorang pemimpin PKR menggesa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengambil tanggungjawab atas kejadian banjir di negeri itu baru-baru ini.

Kata Datuk Johari Abdul ketika ada pihak mempersoalkan di mana pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) semasa penduduk berdepan masalah berkenaan, PKR juga bertanya: siapa yang menjadi kerajaan di Kedah.

“Menteri besar perlu bertanggungjawab atas kebajikan negeri.

“Malah semua jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan perlu bersedia berdepan dengan kemungkinan banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebahagian Kedah dan Perlis ditenggelami air dalam kejadian banjir baru-baru ini menyebabkan lebih 3,000 orang terpaksa dipindahkan ke pusat petempatan sementara.

Pemuda Umno Kedan kemudian mempertikaikan tiada pemimpin pembangkang hadir untuk membantu ketika penduduk kedua-dua negeri terbabit berdepan dugaan berkenaan.

Kata Johari pemimpin HARAPAN tahu tanggungjawab masing-masing dan mereka memang berada di tempat kejadian membantu mangsa yang terbabit.

“Tapi kami tidak menunjuk-nunjuk macam pemimpin Umno yang memaklumkan kepada media mengenai aktiviti mereka,” katanya.

Anggota parlimen Sungai Petani itu juga menyatakan rasa simpati terhadap penduduk yang berdepan dengan banjir berkenaan.

Katanya masalah banjir sepatutnya boleh diatasi dengan sistem perparitan yang baik kerana kejadian yang berlaku baru-baru ini pernah terjadi kira-kira 10 tahun lalu.

Menurut Johari kerajaan negeri wajar mengambil langkah pencegahan menyeluruh bagi menangani isu berkenaan.

“Kita berharap kerajaan negeri memberi perhatian serius dalam isu ini dan mencari penyelesaian terbaik serta memantau dengan dekat keadaan semasa ekoran kekerapan banjir di Kedah,” katanya.

Artikel disiar pada October 2, 2017 - 9:37 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET