AGC tubuh pasukan khas pantau siasatan kes Dzulkifli

Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk memantau dengan teliti siasatan berhubung dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad cuba memikat isteri orang.

“Memandangkan keseriusan tuduhan yang boleh menjejaskan integriti ketua pesuruhjaya SPRM, AGC telah membentuk pasukan petugas pada 16 Oktober untuk memantau teliti siasatan terhadap kesalahan yang didakwa itu.

“Jawatankuasa ini yang ditubuhkan pada Isnin lalu akan memantau perjalanan siasatan di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan kesalahan lain yang berkaitan,” kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan media.

Sehubungan itu, Mohamed Apandi menasihatkan semua pihak supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan tersebut.

image: https://i.malaysiakini.com/1165/b2b2222e1cfc4ba590f18cb8f4c2e973.jpeg

Satu laporan polis juga telah dibuat susulan dakwaan hubungan sulit itu dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklumkan bahawa kes itu sedang mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan.

Seksyen 498 Kanun Keseksaan adalah tuduhan berkaitan “memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks.”

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-dua sekali.

Beberapa klip video yang kononnya bukti bahawa Dzulkifli terlibat dengan isteri orang tersebar di media sosial sejak minggu lalu.

Mohamed Apandi dalam kenyataannya juga mendesak orang ramai supaya tidak membuat ulasan yang boleh menjejaskan siasatan.

Beliau sebaliknya menggesa pemberi maklumat tampil membantu siasatan supaya setiap dakwaan tersebut dapat dibuktikan.

“Sejajar dengan amalan terbaik dasar pendakwaan kami, Jabatan Peguam Negara juga akan memastikan siasatan tidak akan menghalang pemberi maklumat atau saksi yang berwibawa daripada datang ke hadapan untuk membantu siasatan supaya kebenaran terbukti,” katanya.

image: https://i.malaysiakini.com/975/e754086ba5f5f42725e1da891ae0550a.jpg

Mohamed Apandi berkata, AGC memberi jaminan bahawa peguam negara dalam kapasiti sebagai pendakwa raya seperti diperuntukkan di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan akan menjalankan budi bicaranya mengenai perkara ini, seperti dalam semua perkara lain dengan bijak dan dalam mengikut undang-undang, sama ada undang-undang prosedural atau substantif.

Dzulkifli sebelum ini adalah pegawai di AGC sebelum dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Artikel disiar pada October 19, 2017 - 9:26 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET