Misteri ucapan Umno di kongres Parti Komunis China

Memandangkan Kongres Nasional Parti Komunis China (CPC) bermula semalam, persoalan sama ada wakil Umno akan berucap atau tidak pada majlis itu masih lagi misteri.

Awal bulan lalu, portal Umno Online memetik setiausaha agung parti itu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang berkata Malaysia satu-satunya negara dari enam negara di seluruh dunia yang diundang untuk berucap pada kongres tersebut.

Dalam laporan itu, Tengku Adnan berkata undangan itu menunjukkan CPC mengiktiraf pencapaian Umno, sambil beliau juga menyatakan penghargaan dalam hubungan rapat di antara Umno dan CPC.

Bagaimanapun, apabila Malaysiakini menghubungi Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa untuk mengesahkan hal ini, beliau menjawab tidak tahu akan perkara undangan berucap itu.

Manakala Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan mencadangkan wartawan bertanyakan sendiri soalan itu kepada Tengku Adnan.

Malaysiakini telah cuba untuk menghubungi Tengku Adnan melalui khidmat pesanan ringkas dan panggilan telefon, tetapi tidak mendapat maklum balas.

image: https://i.malaysiakini.com/1135/a7097c1a626e1068f3d5020cf267518a.jpeg

Ahli akademik sains politik Phoon Wing Keong (gambar) yang memerhatikan perkembangan politik China berpandangan bahawa kemungkinan Umno diundang untuk berucap adalah kecil.

Malah menurut Phoon jika Umno memang diundang, perwakilann itu barangkali hanya menjadi pemerhati dan bukannya berucap.

“Saya tidak percaya Umno akan berucap dalam majlis itu. Pada masa lalu, saya tidak pernah melihat ia terjadi, bahawa parti politik luar negara diundang untuk berucap,” katanya apabila dihubungi portal berita ini.

Beliau menjelaskan di bawah Parti Komunis China, Jawatankuasa Pusat Jabatan Antarabangsa bertanggungjawab dalam hal ehwal perhubungan awam dengan parti-parti politik.

“Jika jawatankuasa itu mengundang parti-parti politik luar negara untuk menjadi pemerhati dalam majlis tersebut, ia munasabah.

“Ia seperti perhimpunan agung Umno, ia juga mengundang perwakilan CPC dan parti-parti lain sebagai pemerhati, tetapi bukan lah berucap dalam majlis itu,” katanya.

Mungkin hanya forum kecil

Beliau mengesyaki kebarangkalian lain yang mungkin terjadi adalah CPC mengundang Umno berucap dalam majlis yang diadakan bersempena dengan kongres nasional parti itu.

“Saya percaya Umno boleh jadi diundang untuk majlis seumpama itu. Suatu forum kecil atau pertemuan yang diatur untuk parti-parti politik luar negara,” katanya.

Kongres Nasional CPC ke-19 bermula semalam dan akan berlangsung sehingga 24 Oktober ini dengan jumlah keseluruhan 2,280 perwakilan yang akan memilih jawatankuasa pusat dan jawatankuasa disiplin parti yang baru.

Kongres nasional itu juga telah mengundang 74 orang ‘perwakilan khas’, kebanyakannya veteran CPC yang telah bersara.

Selain perwakilan yang dipilih dan wakil khas, pada masa lalu CPC juga mengundang bukan anggota CPC ke majlis tersebut, seperti saintis ulung dan ahli akademik ternama serta ahli perniagaan patriotik, menurut China News Service, agensi berita milik negara China.
Read more at https://www.malaysiakini.com/news/398823#H26w50I7Dchl3cUx.99

Artikel disiar pada October 19, 2017 - 9:27 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET