Pejabat daerah ‘mengalah’ lepas diganggu jenglot

GLOBAL |  Gara-gara objek didakwa jenglot yang disimpan, pejabat daerah terpaksa berdepan dengan masalah tugasan harian.

Pada awalnya pegawai daerah Bulak di Surabaya itu bercadang menyimpan ‘jenglot’ berkenaan untuk sementara sebelum dibuang minggu depan.

Namun gangguan yang dialami kakitangan pejabat daerah itu ternyata tidak berbaloi dengan cadangan itu. Justeru Pegawai Daerah Bulak, Suprayitno, memutuskan untuk membuang ‘jenglot’ itu ke laut lebih awal.

Untuk rekod gangguan berkenaan bagaimanapun bukanlah berbentuk misteri atau berkait dengan insiden menyeramkan, sebaliknya lebih sederhana.

Seperti dilaporkan Tempo, kewujudan ‘jenglot’ yang disimpan di pejabat daerah itu mendorong orang ramai berkunjung ke situ untuk melihat secara dekat lembaga berkenaan.

“Pejabat daerah jadi tumpuan warga untuk melihat, daripada anak kecil, ibu-ibu hingga orang tua, bahkan turut mendapat perhatian media. Sunggu luar biasa,” ujar Suprayitno.

Katanya jika terus disimpan di pejabat itu urusan kerja kakitangan terbabit pasti terganggu oleh rasa ingin tahu orang awam.

Macam tulang bangau

‘Jenglot’ berkenaan ditemukan di Pantai Watu-Watu, Surabaya pada 16 Oktober lalu.

Media tempatan menggambarkan objek berkenaan sebagai menakutkan sehingga tiada sesiapa yang berani menyentuh atau memindahkannya dari tempat ia ditemukan.

Hanya selepas anggota keselamatan tiba barulah objek sepanjang kira-kira 40 sentimeter itu diangkat dan dibawa ke Pejabat Daerah Bulak yang terletak tidak jauh dari Pantai Watu-Watu.

Secara umum objek itu menyerupai mayat kering dengan rambut panjang sehingga ke kaki.

image: https://i.malaysiakini.com/1169/516995a157795717d26a71a70cf736b2.jpeg

Ia juga memiliki kuku dan gigi yang panjang.’Jenglot’ berkenaan ditemukan dalam sebuah kotak kayu dengan kesan goresan yang tidak dapat difahami maksudnya. Turut ditemukan bersama objek itu ialah kain putih.

Namun tidak semua yakin ia adalah jenglot sebenar.

Aktivis budaya Surabaya, Agus Curik‎, berpendapat ia bukan jenglot asli kerana bahan yang digunakan untuk membuatnya berbeza dari biasa.

“Ia diperbuat daripada tulang haiwan, macam burung bangau,” katanya.

image: https://i.malaysiakini.com/1169/fc5dbe32a171bcfbf2b0a0f02b4059ce.jpeg

Jenglot sebenar, kata Agus, diperbuat daripada kulit haiwan yang dibentuk menjadi seakan-akan manusia,” katanya.Ketika objek itu dihanyutkan ke laut, Suprayitno turut mengajak Agus menyertainya sebagai pemantau.

Kata Suprayitno ada kemungkinan pihak tertentu terpengaruh dengan ‘jenglot’ berkenaan dan tidak mustahil ia membabitkan amalan syirik.

“Jadi kami memutuskan sebaiknya dihanyutkan saja,” katanya.‎

Selepas dibalut dengan kain putih dan dimasukkan ke kotak kayu objek itu kemudian dibawa ke pantai berhampiran petempatan nelayan kira-kira 200 meter dari tempat ia mula ditemukan.

Suprayitno lantas menaiki sampan nelayan ke Selat Madura di tepi Jambatan Suramadu dan menghanyutkan ‘jenglot’ berkenaan.‎

Di kalangan penduduk Nusantara jenglot dipercayai sesetengah orang mempunyai kuasa mistik dan boleh dipergunakan untuk kepentingan peribadi.

Walaupun tidak bergerak, ada pihak percaya ia sebenarnya hidup dan menjadikan darah sebagai makanan.

Artikel disiar pada October 19, 2017 - 9:26 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET