‘Rakyat tak boleh lagi harap kerajaan’

Anggota Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad membidas sikap membisu kerajaan di tengah-tengah ribut kontroversi isu keagamaan dan perkauman yang sedang berlaku di negara ini.

“Kebelakangan ini begitu banyak kenyataan keterlaluan dan kontroversi dibuat sehingga kita susah hendak percaya ianya berlaku di tanah air kita.”

Beliau memberi contoh kenyataan halal darah yang berulangkali diberikan beberapa orang guru agama tertentu terhadap sesama Islam yang tidak bersependapat dengan mereka.

“Perkara ini semua telah agak lama berlaku tanpa apa-apa kenyataan atau tindakan oleh kerajaan wasatiah Datuk Seri Najib Razak.

“Lebih menghairankan lagi kerajaan yang mengakui mengamalkan nilai ‘wasatiyah’, atau kesederhanaan, mengambil sikap membisu di tengah-tengah ribut kontroversi isu keagamaan dan perkauman yang sedang berlaku,” katanya.

Tindakan Raja-raja Melayu dipuji

Raja Bahrin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu mempersoalkan peranan kepimpinan negara yang sepatutnya ‘membela nasib rakyat yang makin tertekan dan keliru’.

“Rakyat tidak lagi boleh mengharap dan percaya kepada kerajaan hari ini dalam berbagai isu.

“Isu perkauman dan keagamaan yang ekstrem menjadi makin ketara menjelang pilihan raya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pengerusi Parti Amanah Negara Terengganu itu juga memuji tindakan Raja-raja Melayu khususnya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tegas bertindak terhadap pendakwah kontroversi Zamihan Mat Zin.

“Hanyalah tindakan bijaksana kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor dan Sultan Selangor berjaya mengawal keadaan ekstremis dari menjadi lebih parah.

image: https://i.malaysiakini.com/1168/abb624db544193869cb260840e34f87f.jpeg

“Ini telah memalukan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang sepatutnya menjalankan tugas mereka tetapi nampaknya Jakim lebih berminat menjadi alat kepada agenda politik kerajaan pusat.

“Kerajaan Malaysia telah banyak menyeleweng dan kita sanggat bertuah Raja-Raja Melayu kita telah bersuara untuk membela hak rakyat kebelakangan ini,” tambah kenyataan Raja Kamarul itu lagi.

Zamihan yang juga pegawai Jakim sebelum ini dilaporkan mengkritik Sultan Johor  kerana menolak dobi khas untuk umat Islam sahaja di Muar.

Sultan Ibrahim pada 27 September lalu mengarahkan kedai dobi kontroversi di Muar itu menghentikan dasar kontroversi itu atau berdepan risiko ditutup.

Menyifatkan langkah itu sebagai karut, baginda bertitah Johor adalah milik semua kaum dan agama serta bukan negeri Taliban.

image: https://i.malaysiakini.com/1168/e12805e802973a8dbea548336798d9fd.jpeg

Zamihan bagaimanapun dalam satu rakaman video berkata baginda tidak patut bertitah demikian kerana orang Cina tidak suci selepas membuang air besar.

Zamihan juga dilapor berkata beliau tidak gentar mengkritik pihak atasan termasuk sultan kerana “menjunjung kebenaran”.

Zamihan kemudiannya ditangkap polis dan ditahan reman dua hari.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan Zamihan berkata beliau disiasat menurut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Manakala Sultan Selangor pula dilaporkan berkenan supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar penceramah kontroversi Zamihan.

Artikel disiar pada October 19, 2017 - 9:27 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET