Shafie Apdal dijadual ke SPRM petang ini

Selepas menahan reman sembilan individu, termasuk dua adiknya, berhubung siasatan kes penyelewengan dana RM1.5 bilion bagi projek luar bandar, petang ini giliran Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk memberi keterangan.

Bekas naib presiden Umno itu dijadualkan hadir pada jam lima petang di pejabat SPRM di Kota Kinabalu, Sabah.

Akhbar Harian Metro memetik peguam yang mewakili WARISAN Norazmi Alimat, sebagai mengesahkan perkara itu.

Mohd Shafie yang menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah antara 10 April 2009 hingga 29 Julai 2015 dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, petang ini dari Kuala Lumpur dan terus ke pejabat SPRM Sabah.

Setakat ini, sembilan individu ditahan SPRM berhubung kes berkenaan termasuk dua adik Mohd Shafie, iaitu ahli perniagaan Hamid Apdal dan ADUN Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal.

Antara yang ditahan ialah Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony; Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman selain Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Umno Tawau, Ariffin Kassim.

Sementara itu, Timbalan Presiden WARISAN Darell Leiking memberitahu Malaysiakini bahawa SPRM telah menahan seorang lagi ahli parti itu hari ini.

Darell berkata parti itu difahamkan wakil media WARISAN, Amarjit Singh ditahan di rumah keluarganya.

“Kami tidak bagaimana atau mengapa dia ditangkap,” kata Darrel.

Shafie yang juga adalah Ahli Parlimen Semporna meninggalkan Umno selepas digantung keahlian dalam parti itu sebelum menubuhkan Parti Warisan yang berasaskan perjuangan hak Sabah, dengan disertai beberapa pemimpin pembangkang daripada DAP dan PKR.

SPRM sebelum ini mendedahkan siasatan kes penyelewengan dana sebuah kementerian Persekutuan di Sabah membabitkan RM1.5 bilion iaitu sebahagian daripada peruntukan RM7.5 bilion untuk pelbagai projek pembinaan infrastruktur di negeri itu antara 2009 hingga 2015.

Artikel disiar pada October 19, 2017 - 9:26 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET