‘Ada yang bertudung disuruh pakai skirt mini’

Sebuah NGO yang mesra Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa ada rangkaian hotel bukan sahaja mewajibkan pekerja wanita beragama Islam menanggalkan tudung, malah meminta pelajar yang ingin menjalani latihan industri memakai skirt mini.

Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (Wafiq), Prof Madya Dr Rafidah Hanim berkata pihaknya mengetahui perkara itu selepas menerima aduan daripada pelajar berkenaan.

“Malah mereka diberi syarat jika ingin meneruskan latihan, perlu membuka tudung.

“Ada yang datang bertudung, tetapi pengurusan hotel minta mereka memakai mini skirt yang jelas bercanggah dengan penampilan sebagai wanita muslimah,” dakwanya seperti dilapor portal Ismaweb.net.

Rafidah berkata demikian ketika bercakap dalam forum “Sudut Pandang Larang Bertudung: Hak Asasi dan Diskriminasi Wanita Islam” di Bangi, Selangor, malam tadi.

Katanya, Wafiq turut menerima aduan daripada seorang kakitangan hotel di bahagian pengurusan yang tidak terikat dengan tugas di kaunter depan, tetapi turut dikenakan polisi sama iaitu dilarang bertudung.

“Dan wanita-wanita ini telah pun merayu, membuat surat rayuan kepada majikan mereka, tetapi tidak diendahkan,” jelasnya.

Isu mengenai larangan itu bermula apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan terdapat kakitangan wanita yang bekerja di kaunter hadapan tidak dibenarkan memakai tudung.

Di sebalik kritikan hebat, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan pengusaha hotel tersebut apabila pengerusinya, Samual Cheah Swee Hee mendakwa larangan itu diamalkan di semua rangkaian hotel antarabangsa.

Sehubungan itu pelbagai pihak mengecam larangan itu termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menyifatkan perbuatan itu sebagai pelanggaran hak wanita.

Manakala Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini menggesa majikan supaya mendukung hak kebebasan beragama di negara ini.

Di pihak pembangkang pula, DAP dan PKR juga mengutuk larangan itu dengan menawarkan bantuan undang-undang kepada pekerja wanita berkenaan.

Artikel disiar pada November 17, 2017 - 10:12 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET