ROS tak iktiraf ‘mesyuarat agung 12 orang’ BERSATU

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan mendakwa mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dibuat 2 November tahun lalu hanyalah “mesyuarat majlis pimpinan tertinggi” dan bukan mesyuarat agung khas (EGM) seperti yang dinyatakan parti itu.

“BERSATU menyatakan telah membuat EGM pada 2 November 2016, (tetapi) hakikatnya itu mesyuarat majlis pimpinan tertinggi sahaja.

“ROS telah meneliti ‘Minit Mesyuarat Agung KhasR 2016’ dan mendapati hanya 12 orang ahli majlis pimpinan tertinggi yang direkodkan hadir,” kata Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim pada sidang media di Putrajaya hari ini.

BERSATU mendakwa telah meminda perlembagaan parti untuk mengubah nama sayap pemudanya daripada Pemuda Bersatu kepada ARMADA ketika mesyuarat tersebut.

Minggu lalu, ROS berkata penggunaan nama itu bertentangan dengan perlembagaan BERSATU dan boleh menyebabkan parti itu diharamkan.

Suriyati berkata lagi, memandangkan mesyuarat pada 2 November 2016 itu bukanlah EGM, maka ia tidak memenuhi perkara 28 perlembagaan BERSATU yang menyatakan perlembagaan parti hanya boleh dipinda dengan persetujuan dua per tiga perwakilan di EGM atau mesyuarat agung tahunan (AGM).

“Pucuk pimpinan BERSATU perlu tahu yang perlembagaan parti dan juga undang-undang berkaitan pertubuhan adalah sesuatu yang amat serius,” katanya lagi.

BERSATU didaftarkan pada September 2016. Jumlah keahlian rasmi ketika mesyuarat tersebut tidak diketahui, namun parti itu mendakwa penyertaan sebagai ahli sangat menggalakkan.

Setakan Jun tahun ini, parti itu berkata keahlian mereka mencecah 200,000.

Berhubung permohonan BERSATU untuk menangguhkan AGM pula, Suriyati berkata perlembagaan parti itu tidak memperuntukkan perkara atau fasal yang membolehkan penangguhan dibuat.

“Kesalahan tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan juga hal yang serius kerana ia telah melanggar perlembagaan BERSATU sendiri dan boleh menyebabkan pembatalan pendaftaran,” katanya.

Setiausaha Agung BERSATU Datuk Shahruddin Md Salleh sebelum ini berkata, mereka ingin menangguhkan AGM sehingga tahun depan bagi menyelesaikan penubuhan cawangan terlebih dulu.

Katanya, perlembagaan parti menggariskan yang AGM hanya boleh dibuat selepas mesyuarat peringkat bahagian, yang tidak boleh dijalankan sebelum cawangan ditubuhkan dan didaftarkan sepenuhnya.

Artikel disiar pada November 17, 2017 - 10:13 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET