Pegawai Rosmah: Berapa bot, kapal akan diisytiharkan Mukhriz?

Datuk Rizal Mansor, pegawai khas kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini mencabar Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mengisytiharkan hartanya.

Ini susulan pelaksanaan pengisytiharan aset oleh kira-kira 30 bakal calon Pakatan Harapan pada Ahad lalu anjuran Invoke Malaysia, sebuah kumpulan penyelidikan dan kumpulan sokongan yang diketuai oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Kita pun tertunggu-tunggu juga berapakah bilangan bot dan kapal yang akan diisytiharkan oleh Mukhriz, dan berapa banyak yang telah dihadiahkan kepada anak-anaknya? Namun Mukhriz belum bersedia untuk berkongsi dengan kita.

“Mungkinkah beliau akan buat satu majlis pengisytiharan harta tertutup di depan Rafizi sahaja?” kata Rizal dalam satu kenyataan.

Bot dan kapal itu merujuk kepada laporan berita baru-baru ini yang mendakwa cucu Pengerusi HAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz memiliki kapal layar dan mengamalkan cara hidup mewah.

Invoke Malaysia menawarkan dana kempen untuk calon-calon HARAPAN sebagai pertukaran mereka mengisytiharkan aset dan ikrar bertulis bahawa tidak akan menukar parti setelah dipilih.

Rizal berkata beliau kecewa kerana tiada seorang pun pemimpin utama HARAPAN – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Mukhriz, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Ketua Penerangan DAP Tony Pua, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin – mengisytiharkan harta mereka.

“Selama ini wajah-wajah itulah yang lantang mencabar orang lain mengisytiharkan harta dan menuduh orang lain rasuah.

“Dari 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN (kecuali Sarawak) yang dipertandingkan dalam PRU, hanya 30 orang sahaja calon mereka yang sanggup isytihar harta. Itu pun tidak semua hadir,” kata Rizal.

Beliau berkata parti-parti pembangkang selalu mencabar orang lain dan melaung-laungkan prinsip ketelusan dan keterbukaan dalam politiknya tetapi berdolak-dalih dengan seribu satu alasan pula apabila diminta melakukan perkara sama.

Dengan tidak menyertai majlis Invoke Malaysia, Rizal berkata, orang ramai akan mempersoalkan sama ada pemimpin tertinggi HARAPAN cuba menyembunyikan kekayaan mereka.

“Tindakan tidak mahu isytiharkan harta itu sekaligus menimbulkan tanda tanya apakah kebanyakan pimpinan DAP, PKR dan BERSATU ini kaya raya sehingga terpaksa bergelut dengan bermacam-macam alasan untuk mengelak isytiharkan harta mereka?” soalnya.

Berdasarkan perisytiharan aset itu, Rizal berkata, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution mengakui mempunyai aset bernilai RM1.6 juta, walaupun beliau hanya menjadi ahli parlimen selama satu penggal.

“Itu hanya ahli parlimen biasa sahaja yang sering membawa cerita rakyat hidup susah, serta menuduh pemimpin negara rasuah. Itu Saifuddin yang hanya ahli parlimen sepenggal.

“Cuba kita fikirkan pula jika Lim Guan Eng selaku orang yang berkuasa meluluskan kos kajian terowong ratusan juta ringgit, serta bukit mana yang hendak ditarah untuk projek mewah di Pulau Pinang, isytiharkan hartanya.

“Agaknya berapakah bilangan rumah yang ada kolam renang dan yang tiada kolam renang yang akan beliau isytiharkan?” sindirnya.

Artikel disiar pada November 21, 2017 - 10:35 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET