Di malam hari Natal, Kitaro pukau 6,000 peminat Malaysia

Di saat peminat Star Wars berpusu-pusu di pawagam bagi menonton filem terbaru daripada francais itu, peminat Kitaro pula ke Genting Highlands untuk menonton konsert pemuzik dan komposer hebat itu.

Menjadi salah satu destinasi jelajah konsert “Kojiki and the Universe 2017”, kira-kira 6,000 memenuhi Arena of Stars pada malam hari Natal, 24 Disember lalu.

Kali ini, Kitaro mempersembahkan kojiki – melodi dan lagu berdasarkan sejarah dan mitos Jepun – dengan fokus kepada pembentukan alam semesta.

Tujuh lagu bagi didedikasikan untuk persembahan ini iaitu Hajimari, Sozo, Koi, Orochi, Nageki, Matsuri dan Reimei.

Dengan paluan gendang dan bunyian organ, Kitaro mengajak penonton menghayati keagungan fenomena ‘big bang’.

Imejan sistem suria, letupan supernova, komet Halley dan aurora yang berwarna-warni yang melatari muzik menggamit lagi perhatian penonton.

Gema muzik Kitaro berkumandang dari pentas ke kerusi penonton yang terpaku. Pada satu ketika, imej matahari yang membakar yang ditangkap Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) dan Universiti Kyoto terpapar di skrin.

Sebagai lambang matahari, Amaterasu-ōmikami adalah dewa utama dalam mitos Jepun yang berkuasa memberi kehidupan kepada bumi.

Selain itu, pemuzik berusia 63 tahun itu turut membawakan lagu-lagu hitsnya seperti Silk Road, Caravansary dan Aqua. Buat seketika, penonton diceritakan pula tentang kehidupan pedagang di Laluan Sutera.

Dengan persembahan selama dua jam, konsert kali ini pastinya mengubat kerinduan peminat kepada Kitaro yang pernah mengadakan persembahan di Malaysia pada 2011.

Kitaro atau nama sebenarnya Masanori Takahashi adalah pemuzik Jepun yang terkenal dengan instrumen elektronik.

Mula aktif di penghujung era 1970-an, beliau telah menghasilkan lebih 20 album penuh dan memenangi pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Grammy dan Golden Globe.

Artikel disiar pada December 26, 2017 - 9:14 am oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET