‘SPR pisah-pisahkan daerah mengundi di Shah Alam’

 

Cadangan persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengasingkan dua daerah mengundi daripada kawasan parlimennya, kata pengundi Shah Alam yang membantah syor itu.

Jurucakap kumpulan pengundi itu, Shamsuddin Drani berkata dengan menukar daerah mengundi Bukit Kuda dari kawasan parlimen Shah Alam ke kawasan parlimen Klang sebagaimana yang dicadangkan SPR itu, maka daerah mengundi Kampung Kuantan dan Taman Kampung Kuantan akan terasing dari kawasan parlimen Shah Alam.

Sebuah peta yang ditunjukkan Shamsuddin memaparkan Kampung Kuantan dan Taman Kampung Kuantan yang kekal di bawah parlimen Shah Alam yang dikelilingi Sungai Klang dari tiga arah dengan kawasan parlimen Kota Raja berada di seberangnya.

Arah utara Kampung Kuantan and Taman Kampung Kuantan bersempadan dengan Klang, manakala kawasan parlimen Shah Alam yang selebihnya berada di arah berseberangan dengan sempadan di arah timur lautnya.

“Kenapa diwujudkan satu pulau ditengah-tengah kawasan parlimen yang berlainan,” tanya Shamsuddin (gambar, atas) ketika ditemui selepas beliau menyerahkan bantahannya kepada suruhanjaya itu hari ini dalam sesi siasatan tempatan SPR di Selangor.

Beliau juga memberitahu Malaysiakini peta SPR untuk kawasan itu kelihatan seperti ada laluan yang menyambungkan Kampung Kuantan dan Taman Kampung Kuantan dengan kawasan lain di Shah Alam.

Bagaimanapun, kata Shamsuddin yang juga pembantu Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa tempat itu tidak wujud begitu kerana beliau tinggal berhampiran kawasan itu.

Kumpulan pengundi ini membantah amalan malapportionment (kadar kegagalan agihan pembahagian kawasan pilihanraya yang tidak sama rata). Malapportionment merujuk kepada saiz kawasan pilihan raya yang berbeza-beza, yang mana ianya mungkin berdasarkan kepada manipulasi kepartian.

Manakala itu Ahli Dewan Undangan Negeri Balakong Ng Tien Chee (gambar, atas) menuding ke arah SPR kerana memburukkan lagi salah agihan kawasan pilihan raya ini, selepas hadir dalam satu lagi sesi siasatan tempatan SPR hari ini.

Beliau berkata jumlah purata pengundi di setiap kawasan DUN Selangor adalah sekitar 36,596 pengundi.

Balakong, kata beliau adalah contoh kawasan DUN yang melebihi purata dengan 42,829 pengundi tetapi cadangan sempadan baru SPR menambahkan jumlah pengundinya kepada 51,594 pengundi.

Beliau turut membantah cadangan SPR memindahkan daerah mengundi Taman Bukit Belimbing dari DUN Balakong ke DUN Seri Kembangan.

Cetus kekeliruan

Menurut beliau, bantahan ini dibuat kerana hampir keseluruhan Seri Kembangan berada di bawah Majlis Perbandaran Subang Jaya, sementara Taman Bukit Belimbing di bawah bidang kuada Majlis Perbandaran Kajang.

“Ini akan mencetuskan kekeliruan dan masalah yang tidak perlu,” kata beliau.

Awal hari ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan kesemua majlis tempatan Selangor dijadualkan mengemukakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula SPR dalam sesi siasatan tempatan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, Azmin dan wakil peguamnya gagal membuat kemunculan dan cubaan beliau mendapatkan perintah mahkamah bagi menangguhkan pendengaran itu ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sekurang-kurangnya dua dari 12 majlis tempatan Selangor gagal hadir di sesi siasatan tempatan SPR itu selepas gagal mendapatkan penangguhan daripada SPR, iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Artikel disiar pada January 9, 2018 - 11:42 am oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET