AMANAH Kelantan mahu Kuala Krai, sedia serah Bachok

Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan mahu mempertahankan kerusi parlimen Kuala Krai dan bersedia menyerahkan parlimen Bachok kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi AMANAH negeri Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, pembahagian kerusi parlimen di Kelantan sudah selesai dan partinya memilih Kuala Krai sebagai pilihan kelima daripada lima kerusi yang diperuntukkan.

“Kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah buat keputusan dan AMANAH akan bertanding di Kuala Krai, manakala Bachok diserahkan kepada BERSATU,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, pada Konvensyen HARAPAN minggu lalu AMANAH Kelantan dilaporkan akan bertanding di lima kerusi parlimen Kelantan.

Namun, hanya empat kerusi diputuskan awal pada konvensyen tersebut iaitu Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Pasir Mas dan Kubang Kerian.

Sebagai rekod, Kuala Krai kini disandang oleh AMANAH menerusi Dr Hatta Ramli yang memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum lalu melalui tiket PAS.

Justeru, keputusan AMANAH untuk meletakkan calonnya di Kuala Krai dilihat sebagai cubaan bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Sementara itu, Wan Abd Rahim berkata, pihaknya kini memberi tumpuan dengan gerak kerja di peringkat parlimen termasuk parlimen yang tidak ditandingi AMANAH.

“Kini kita fokus untuk menguatkan jentera parti di peringkat parlimen dengan penubuhan 14 AMANAH bahagian seluruh negeri serta peringkat cawangan ” jelasnya.

Artikel disiar pada January 16, 2018 - 4:14 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET