Keluarga paderi Koh terkejut inkuiri ditangguhkan

Inkuiri SUHAKAM | Keluarga paderi Raymond Koh terkejut dengan penangguhan inkuiri yang dijalankan oleh Suhakam berhubung kehilangannya.

“Ini mengejutkan kami selaku keluarga, kerana kami tidak tahu ini akan berlaku.

“Harapan kami apabila kami datang ke Suhakam adalah untuk mencari beberapa jawapan kepada banyak soalan kami mengenai penculikannya,” kata isterinya, Susana Liew (kiri dalam foto) kepada pemberita selepas keputusan itu diumumkan oleh pengerusi panel inkuiri Suhakam, Mah Weng Kwai di ibu pejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur.

Inkuiri itu ditangguhkan pada petang ini, selepas seorang lelaki didakwa semalam berhubung penculikan paderi berkenaan.

Liew, yang ditemani oleh anak-anak dan peguamnya, menyifatkan penangguhan itu sebagai penafian hak mereka untuk mendapatkan kebenaran.

“Kami berharap ada keadilan tapi saya khuatir hari ini harapan ini telah dihancurkan,” katanya.

Inkuiri itu dimulakan pada 19 Oktober tahun lepas.

Peguam keluarga Koh, Gurdial Singh Nijhar, mempertikaikan tindakan polis kerana menuduh individu yang mereka nyatakan sebelum ini tidak terlibat dalam penculikan itu.

Gurdial merujuk kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat sebelum ini, bahawa pemandu Uber, Lam Chang Nam yang didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan tersebut ‘tidak ada kaitan dengan kes itu’.

“Fadzil, yang merupakan saksi kesebelas dalam inkuiri itu, secara terbuka mengisytiharkan bahawa Lam tidak ada kaitan dengan penculikan paderi Koh.

“Fadzil yang juga ketua pasukan petugas yang meneliti penculikan Koh berkata pada Mac tahun lepas bahawa siasatan mereka menunjukkan bahawa Lam tidak terlibat dalam penculikan,” kata Gurdial.

Artikel disiar pada January 16, 2018 - 4:13 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET