‘Apa tujuan sebenar PNB, KWSP beli Battersea?’

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mempersoalkan kewajaran Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahu membeli aset komersial dalam pembangunan Fasa 2, Battersea Power Station di London.

Timbalan ketuanya Faiz Fadzil (bawah) berkata pembelian itu melibatkan transaksi hartanah terbesar dalam sejarah United Kingdom dan kosnya dikhuatiri meningkat berlipat kali ganda.

Justeru, katanya, rancangan itu sangat berisiko kepada rakyat Malaysia sebagai penyumbang kewangan utama KWSP dan PNB.

“Pembelian stesen janakuasa ini bukan sahaja menimbulkan persoalan sama ada ia bertujuan untuk menyelamatkan projek tersebut, bahkan sama ada ia sebagai usaha kerajaan menggunakan dana awam untuk mendapatkan dana pilihan raya BN dalam PRU ke-14 ini, memandangkan bayaran yang dibuat mencecah empat kali ganda daripada pembelian asal oleh SP Setia dan Sime Darby,” katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi KWSP dan PNB untuk mendapatkan ulasan mereka berhubung dakwaan itu.

KWSP dan PNB kelmarin menegaskan keputusan membabitkan rancangan pembelian aset komersial itu dibuat secara bebas tanpa membabitkan sebarang campur tangan kerajaan.

Dalam kenyataan hari ini, Pemuda AMANAH juga menggesa kerajaan jujur dan mendedahkan perjanjian yang dibuat supaya tiada wang rakyat yang tiris dan membuktikan pembelian itu benar-benar mendatangkan keuntungan tinggi kepada rakyat.

Aset komersial yang dirancang dibeli itu bernilai £1.61 bilion (£1 = RM5.47) dan sedang dibangunkan.

Kedua-dua dana itu memeterai Perjanjian Dasar Induk dengan Battersea Phase 2 Holding Company –unit milik penuh Battersea Project Holding Co Ltd, syarikat sekutu 40 peratus SP Setia Bhd – untuk menimbang dengan teliti terma-terma jualan berpotensi, kata SP Setia dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Aset itu akan dijual kepada sebuah syarikat usaha sama yang akan dibentuk antara PNB dan KWSP.

Artikel disiar pada January 23, 2018 - 8:33 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET