Asri: Isteri Amri bohong kata tiada kaitan dengan Syiah

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyangkal kenyataan yang NGO Perlis Hope tiada kaitan dengan Syiah, seperti yang didakwa Norhayati Ariffin, isteri aktivis dan pengasas pertubuhan itu Amri Che Mat.

Beliau mengulas keterangan yang diberikan Norhayati Ariffin pada inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan Amri, semalam.

Semalam, Norhayati berkata Mohd Asri bersama kira-kira 20 pegawai Pejabat Mufti Perlis dan polis membuat serbuan ke rumahnya dan pejabat Perlis Hope pada 21 Oktober 2015.

Norhayati berkata Perlis Hope adalah NGO kebajikan yang tidak melibatkan politik dan agama, dan serbuan dibuat kerana kerja-kerja kebajikan pertubuhan itu menimbulkan rasa tidak puas hati kepada pihak berkuasa, kerana seolah-olah mereka tidak membuat kerja.

Menafikan dakwaan itu di Facebook, Mohd Asri juga memuat naik beberapa gambar yang menurutnya diambil ketika serbuan ke rumah Amri dan pejabat Perlis Hope.

Gambar itu menunjukkan imej dan kalimah yang sinonim dengan mazhab Syiah, seperti kain pemidang bertulis “Ya Husein” (cucu Nabi Muhammad dan Imam ketiga Syiah), buku tentang Karbala dan “turbah” (atau batu Karbala yang digunakan sesetengah penganut Syiah ketika sembahyang).

Namun ada juga buku yang dijadikan rujukan penganut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, seperti buku terjemahan hadis Imam Bukhari dan Imam Muslim.

“Mereka mendakwa tiada apa-apa bukti kaitan dengan Syiah, (tetapi) lihat gambar yang diambil semasa peristiwa (serbuan) itu,” kata Asri.

Memetik laman The Malaysian Insight, Mohd Asri menafikan dirinya dan Datuk Seri Shahidan Kassim terlibat dalam kehilangan Amri, seperti yang didakwa Norhayati.

Amri kali terakhir dilihat isteri dan keluarganya pada 24 November, 2016.

Walaupun hanya khabar angin, ada pihak yang mengatakan kehilangannya itu berkaitan mazhab itu dan penyebarannya di Perlis.

Mana ada kasar

Mohd Asri juga menafikan pegawai polis dan Jabatan Mufti Perlis bertindak kasar ketika serbuan itu.

“Ia satu pembohongan. Polis tidak pernah menengking anak Amri.

“Bahkan pihak jabatan (Mufti Perlis) dan polis masuk dengan cara baik, berbahasa dengan baik dan sopan kepada mereka,” kata Mohd Asri di Facebook hari ini.

Mohd Asri juga berkata, dialog antaranya dengan Amri di pejabat beliau keesokannya juga berjalan dengan baik.

Berhubung pertemuan itu, Norhayati semalam memaklumkan Amri berkata pihak mufti tidak menghalang beliau mengikut mazhab Syiah, dengan syarat ia dilakukan secara tertutup.

Artikel disiar pada January 23, 2018 - 8:34 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET