Kanak-kanak istimewa mohon doa mufti sebelum jadi remaja

Seorang kanak-kanak mempunyai hajat sangat sederhana sejurus sebelum dia menginjak usianya menjadi remaja.

Bagi Wan Azmeen Aiman Wan Ahmad sebelum dia dikhatankan, dia mengharapkan doa dan keberkatan daripada Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad.

Berhubung melalui aplikasi WhatsApp kanak-kanak itu menyampaikan harapannya supaya didoakan menjadi anak yang soleh, berakhlak mulia serta menghormati semua makhluk Allah.

Menurut mufti terbabit kanak-kanak autistik itu juga berharap didoakan menjadi makhluk yang sentiasa mentaati Allah.

Dalam kemas kini Facebook Zulkifli, beliau turut memuat naik gambar surat tulisan Wan Azmeen. Antara lain kanak-kanak itu menulis:

“Esok Aiman nak sunat dan tinggalkan zaman kanak-kanak. Selepas bersunat Aiman akan jadi remaja.

“Ustaz Datuk, Aiman harap dapat doakan Aiman jadi remaja Muslim yang soleh, ada akhlak baik, hormat semua makhluk taat perintah Allah SWT”.

Kata Zulkifli anak istimewa itu sentiasa membuat bibir beliau mengukir senyuman.

Dan rupa-rupanya perkenalan di antara Zulkifli dan Wan Azmeen bukanlah baru. Mereka bertemu kali pertama pada akhir Feb 2017.

Melalui gambar yang dimuat naik di Facebook, mufti dan kanak-kanak terbabit dilihat bergambar berdua dalam keadaan yang mesra.

Turut dimuat naik ialah surat bertulis tangan oleh Wan Azmeen.

Surat itu antara lain tertulis:

“Mohon doakan saya Wan Azmeen Aiman bin Wan Ahmad tahun ini akan menduduki UPKK (Ujian Penilaian Kelas KAFA).

“Saya ingin menjadi seorang yang hafaz al-Quran (al-hafiz).

“Saya redha sebagai seorang anak autisme dan boleh berjaya seperti insan lain.”

Zulkifli dan Wan Azmeen kemudian bertemu untuk kali ketua semasa himpunan menyatakan sokongan terhadap Palestin dan Masjid al-Aqsa baru-baru ini.

“Sama-sama kita doakan semoga hasrat anakanda Wan Azmeen Aiman dikabulkan-Nya.

“Kepada adik Wan Azmeen Aiman, sesungguhnya kami amat menghargai surat ini dan menyayangi anakanda kerana Allah SWT,” kata mufti berkenaan lagi.

Artikel disiar pada January 23, 2018 - 8:34 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET