Sasaran kumpul RM350,000 kini tercapai

Malaysiakini mengucapkan terima kasih kepada ribuan penyokong serta pembaca kerana membantu mengumpulkan dana sebanyak RM350,000 yang diperlukan segera bagi dana pembelaan undang-undangnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran berkata pihaknya berasa terharu melihat begitu ramai orang dari pelbagai latar belakang memberikan bantuan terhadap rayuan portal terbabit.

“Memang menakjubkan apabila jumlah itu berjaya dikumpul hanya dalam tempoh 12 hari.

“Ini menunjukkan orang ramai menyokong usaha kami melaporkan isu-isu kemasyarakatan.

“Bagi pihak kakitangan Malaysiakini, saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang serta pihak lain yang memberikan sokongan moral kepada kami,” katanya.

Ketua Pengarang Kumpulan Steven Gan pula berkata kejayaan mengumpul dana yang diperlukan itu dalam tempoh 12 hari menunjukkan masyarakat menyokong nilai serta misi Malaysiakini.

“Apabila kami melancarkan Tabung Pembelaan Malaysiakini pada 11 Jan lalu, kami menyangka perlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk mendapatkan jumlah berkenaan.

“Memperoleh jumlah ini dalan tempoh separuh daripada jangkaan adalah bukti bahawa ramai rakyat Malaysia meletakkan keyakinan kepada kami.

“Kini kami tugas yang berat untuk meneruskan apa yang kami mahu laksanakan – menyampaikan kebenaran kepada pihak yang berkuasa, serta mempertanggungjawabkan mereka,” katanya.

Malaysiakini terpaksa meminta bantuan kepada orang awam bagi mengumpulkan dana selepas Mahkamah Rayuan memihak kepada syarikat Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGM) dalam samannya terhadap pertubuhan berita terbabit.

Dapatkan nasihat peguam

Mahkamah mengarahkan Malaysiakini membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 serta RM150,000 lagi sebagai kos guaman.

RAGM menyaman Malaysiakini berhubung tiga laporan serta dua klip video yang membabitkan kebimbangan dinyatakan orang awam terhadap kesihatan mereka.

Keresahan itu berkait dengan aktiviti perlombongan – dengan bahan berkaitan sianida digunakan untuk mendapatkan emas – berhampiran petempatan di Bukit Koman di Raub, Pahang.

Pada 2016 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman RAGM atas alasan ia gagal membuktikan niat jahat di pihak Malaysiakini.

Keputusan itu kemudian dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 11Jan lalu selepas panel tiga hakim – diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim – bersidang.

Hakim mendapati pembelaan Malaysiakini berdasarkan aspek reportage serta “pembelaan Reynolds” tidak terpakai dalam kes berkenaan.

Syarikat pelombongan terbabit menghentikan operasinya sejak itu dan mula melaksanakan prosiding pembubarannya.

Walaupun Malaysiakini akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan, portal berita itu sudah menerima arahan daripada mahkamah supaya RM350,000 itu dijelaskan.

“Kami akan mendapatkan nasihat daripada peguam mengenai cara menangani arahan berkenaan, serta proses rayuan selanjutnya,” kata Gan.

Ekoran matlamat mengumpulkan dana sebanyak RM350,000 sudah dicapai, Malaysiakini secara rasmi menamatkan kempen berkenaan.

Bagaimanapun kepada pihak atau individu yang ingin terus membuat sumbangan, mereka boleh menyalurkannya seperti biasa dan wang berkenaan akan dimasukkan ke Tabung Pembelaan Malaysiakini untuk kes-kes akan datang.

Artikel disiar pada January 23, 2018 - 8:34 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET