‘Zaman Mahathir, Najib sama saja nasib Kelantan’

PAS Kelantan berpendapat nasib rakyat negeri itu tiada bezanya sama ada ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri.

“Mahathir presiden Umno dulu, Najib pun presiden Umno, dasar dan polisinya sama.

“Ketika Mahathir menjadi presiden Umno (dan) sehingga hari ini pun Kelantan didiskriminasi,” kata Setiausaha PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dalam sidang media di Kota Bharu, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perbezaan yang dilalui negeri Kelantan antara zaman Mahathir dan Najib sebagai perdana menteri.

Che Abdullah yang juga exco kerajaan negeri berkata, antara sekatan yang dilakukan terhadap Kelantan melibatkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (pindaan 2015) walaupun telah diluluskan di peringkat negeri.

“Sehingga hari ini pun belum boleh dilaksanakan,” ujarnya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan RUU berkenaan pada 19 Mac 2015.

Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau dikenali hukum hudud, qisas dan takzir, tertangguh pelaksanaannya lebih 20 tahun selepas ia diluluskan DUN Kelantan pada 1993 kerana kekangan dari segi perundangan.

Selain itu Che Abdullah berkata rakyat Kelantan juga dinafikan hak untuk mendapatkan royalti petroleum.

“Kita juga belum nampak hasil (seperti) royalti belum diberikan kepada rakyat kelantan, lebuh raya belum ada, pelabuhan belum ada.

“Sepatutnya itu hak rakyat Kelantan. Sama ada zaman Najib atau Mahathir ke, (keadaannya) sama saja,” jelasnya.

Tambah anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu itu, rakyat Kelantan yang terdiri daripada 95 peratus orang Islam dan Melayu sepatutnya diberi pembelaan sewajarnya.

Artikel disiar pada January 23, 2018 - 8:33 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET