‘Bukan kita nak roboh rumah dia, kedai dia’

Kerajaan Kelantan berkata langkah merobohkan Pasar Besar Pasir Puteh dibuat kerana ia adalah hak mereka, dan kawasan baru yang “lebih comel” sudah disediakan untuk peniaga.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kemudahan yang disediakan di tempat baru adalah lebih baik, selesa, mudah dan bersih.

Katanya selepas bertolak ansur selama setahun dan meminta penjaja berpindah, mereka masih enggan.

“Bincang habis cara dah. Dia (peniaga) dakwa di mahkamah, Mahkamah tolak dah permohonan dia. Maka kerajaan buat keputusan, dah demo (mereka) takse (tak mahu) itu juga, kita kena rombak (roboh) jugalah,” katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Isu pasar besar itu menjadi panas pada 12 Mac lalu apabila kedatangan pegawai penguat kuasa Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) hadir untuk merobohkan bangunan berkenaan disambut dengan bantahan penjaja.

Operasi itu kemudian ditangguhkan.

Keesokan harinya Malaysiakini melaporkan Yang Dipertua MDPP, Mohd Anis Hussein, memberitahu bangunan terbabit adalah hak milk kerajaan.

Tok Guru suruh ikat

Justeru katanya perobohan berkenaan boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa menunggu keputusan rayuan yang dikemukakan penjaja di mahkamah.

“Kerana kes itu hanya mengenai tuntutan peniaga terhadap kerugian dialami mereka selepas diarahkan berpindah ke Pasar Siti Hajar (pasar baru).

“Keputusan mahkamah pada 1 Mac lalu tidak ada perintah yang menghalang kami untuk meroboh pasar dan kami tidak perlu menunggu keputusan mahkamah pada 22 Mac,” katanya.

Menurut Mohd Anis pasar besar itu perlu dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan lain.

Mohd Amar menjelaskan tidak ada sebab penjaja berasa marah atau menghalang perobohan berkenaan.

“Bukan rombak (roboh) rumah dia, bukan rombak kedai dia,” katanya semasa berceramah Pengkalan Datu, Pengkalan Chepa.

Beliau yang juga naib presiden PAS berkata kekecohan yang berlaku pada 12 Mac itu didalangi pihak tertentu untuk menjadikannya modal politik menjelang pilihan raya umum.

Mohd Amar juga menafikan kerajaan Kelantan hari ini berbeza dengan corak pemerintahan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Sebaliknya kata anggota Dewan Undangan Negeri Panchor itu Nik Aziz juga pernah bertindak tegas ke atas peneroka tahan secara haram.

“Tok Guru (Nik Aziz) waktu mula jadi menteri besar (ada) orang pergi teroka tanah secara haram, dia suruh igat (tangkap),” katanya mengenai kes yang didakwa berlaku di Rantau Panjang itu.

Artikel disiar pada March 14, 2018 - 4:10 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET