Hanipa: Tak ada saham, kad kredit atau simpanan tetap

Susulan pengisytiharan harta dibuat 36 tokoh dalam AMANAH dan PKR semalam, Hanipa Maidin menjadi antara anggota parlimen yang paling menarik perhatian.

Hal itu kerana Hanipa hanya memiliki simpanan RM900 dalam akaun banknya sedangkan beliau seorang anggota parlimen serta peguam.

Selain dikagumi Hanipa turut menjadi sasaran kecaman serta tohmahan, termasuk kononnya boros.

Menjelaskan keadaan itu Hanipa berkata apa yang dilakukan adalah menyatakan keadaan sebenar ketika pengisytiharan itu dibuat.

“Secara kebetulan semasa pengisytiharan itu memang duit saya dalam Maybank ada RM900 saja, jadi saya umumlah RM900.

“Jika saya ada RM2.6 bilion atau RM900 juta saya isytiharlah angka itu,” katanya.

Anggota parlimen Sepang itu juga menyatakan beliau tidak mempunyai simpanan lain, pegangan saham, insurans, kad kredit dan simpanan tetap.

Ada masa banyak, ada masa sikit

Kata Hanipa beliau memang memiliki dua rumah yang bernilai hampir RM1 juta, namun menegaskan pada hakikatnya ia bukan miliknya.

“Nilaian sajalah (RM1 juta) tapi masih dalam hutang. Hakikatnya bukan milik kita pun,” katanya.

Hanipa juga berpendapat ada yang lebih penting diberi perhatian oleh orang ramai selain jumlah serta nilai aset seseorang.

Katanya apa yang lebih penting ialah bagaimana sesuatu aset itu diperolehi dan ia mesti diambil kira.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan rumah Hanipa itu terletak di Sri Gombak, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau juga mendapat gaji bulanan RM25,000 sebagai anggota parlimen dan elaun RM10,000 sebagai peguam.

Perbelanjaan bulanannya setakat 11 Mac lalu termasuk pinjaman perumahan, pinjaman kereta (Honda CRV), bil utiliti, wang perbelanjaan kepada isteri, kos operasi firma guaman, sumbangan kepada ibu bapa, sumbangan kepada rakyat dan juga parti dengan jumlah keseluruhan RM26,000.

Hanipa merupakan seorang daripada 36 ahli politik AMANAH dan PKR yang berpotensi menjadi calon pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang mengisytiharkan hartanya kepada Invoke Malaysia.

Kata Hanipa langkah membuat pengisytiharan itu sama sekali bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

“Duit dalam akaun bank ini, biasalah, kadangkala banyak, kadangkala sikit. Tapi kami isytihar apa yang sepatutnya kami isytihar,” katanya.

Artikel disiar pada March 14, 2018 - 4:10 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET