Ucapan terakhir Rafizi di Dewan Rakyat

 

Ahli parlimen pembangkang Rafizi Ramli (PKR-Pandan) hari ini memulakan apa yang dipercayainya sebagai ucapan terakhir beliau di Dewan Rakyat dengan meminta maaf kepada ahli parlimen BN berhubung bidasannya yang pedas sejak bertahun-tahun lalu.

“Tan Sri Yang di-Pertua (Dewan Rakyat), ini ucapan saya terakhir di dewan ini, memandangkan saya tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya mulakan dengan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Tan Sri Yang di-Pertua, Datuk Seri Timbalan Yang di-Pertua yanmg selalu selalu beri ruang yang sebaikanya kepada saya untuk berhujah. Saya doa dewan ini lebih dimuliakan dalam masa yang akan datang.

“Saya ingin minta maaf jika kritikan saya yang pedas terhadap kerajaan. Sepanjang lima tahun lepas, ada yang (saya) lukakan hati ahli-ahli dewan di sebelah sana.

“Saya tidak pernah ada perasaan benci, malah saya cukup senang dengan kawan-kawan dari sebelah sana yang turut bertukar-tukar kritikan,” kata Rafizi sambil mengakui beliau berkawan baik di luar dengan beberapa ahli parlimen BN seperti Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang).

Beliau berkata kritikan yang dibuatnya, adalah sebahagian daripada amanah yang dipikulnya kepada rakyat.

“Sebagai wakil rakyat, kita makan gaji dengan rakyat dalam keadaan mereka terpaksa tanggung beban yang berat,” katanya.

Rafizi berdepan hukuman penjara selama 30 bulan selepas didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi.

Walaupun kesnya sedang dalam rayuan, hukuman penjara akan membatalkan kelayakannya sebagai ahli parlimen sekiranya keputusan bersalah itu dikekalkan.

Dalam ucapannya hari ini, Rafizi menegaskan sekali lagi kesan negatif susulan keputusan kerajaan untuk memansuhkan subsidi yang mengakibatkan kos sara hidup rakyat meningkat.

Pada PRU-13, Rafizi bertanding di Parlimen Pandan dan menang dengan undi 48,183.

Beliau memperoleh 26,729 undi majoriti, menewaskan calon BN, Gary Lim Chin Yee yang memperoleh 21,454 undi, manakala Allan Tan (Bebas) mendapat 2,415 undi.

Artikel disiar pada March 14, 2018 - 4:14 pm oleh peter pang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

VideoKini
Videokini
Terkini Archives
© 2013 PORTALKINI.NET